Wimbledon: Svitolina padam hasrat besar Swiatek

LONDON – Bekas pemain No. 3 dunia, Elina Svitolina mengakui keyakinannya ketika ini cukup memuncak selepas berjaya menyingkirkan pilihan utama, Iga Swiatek untuk mara ke pe­ringkat separuh akhir Kejua­raan Wimbledon buat kali pertama dalam kariernya.

Pada aksi suku akhir di Centre Court awal pagi semalam, Svitolina yang tidak diletakkan sebagai pemain pilihan menewaskan jaguh No. 1 dunia itu dengan keputusan 7-5, 6-7, 6-2 dalam pertarungan lebih dua jam.

Kata Svitolina, banyak faktor yang meningkatkan motivasinya ketika ini seperti mahu memberikan kegembiraan kepada rakyat Ukraine yang sengsara ekoran peperangan selain mendedikasikan kepada keluar­ga dan anak kandungnya.

“Saya rasa sejak tahun lalu, saya sudah menjadi orang yang berbeza kerana apa yang berlaku di negara kelahiran Ukraine yang dilanda pepe­rangan selain hal peribadi yang mana saya sudah berkahwin dan melahirkan bayi.

“Situasi ini memang menaik­kan lagi semangat saya untuk terus berjuang di atas gelanggang.

“Mengenai perlawanan, saya akui agak ralat kerana sepatutnya boleh menang dengan keputusan straight-set, tetapi melakukan kesilapan pada kedudukan tie-break. Apa yang pasti, saya sangat gembira apabila dapat mara ke pentas separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, pemain lelaki No. 1 dunia, Novak Djokovic pula tidak mempunyai masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan wakil Rusia, Andrey Rublev dengan keputusan 4-6 6-1 6-4 6-3.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana ramai pemain muda berusaha untuk menyingkirkan saya tetapi tidak berjaya. Namun, saya kekal menjadi yang terbaik di atas gelanggang,” kata pilihan kedua itu. – AGENSI

The post Wimbledon: Svitolina padam hasrat besar Swiatek appeared first on Kosmo Digital.