PONTIAN – Akibat panik dan takut diambil tindakan konon terlibat dengan jenayah, seorang suri rumah menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM200,060.28 kepada scammer.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abd. Hamid Abd. Rahman berkata, mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan daripada seorang individu yang menyemar sebagai pegawai polis pada 24 November lalu.
“Suspek memberitahu mangsa mempunyai rekod kesalahan jenayah dan bersedia untuk membantu mangsa bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Mangsa diarahkan untuk membuka satu akaun bank baharu dan diminta untuk memindahkan wang ke akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk meninggalkan kad bank baharu itu di sebuah stesen minyak di Pontian selain memberikan butiran kad bank serta suspek berjanji akan memulangkannya selepas kes selesai.
“Mangsa mula merasa curiga apabila suspek gagal untuk dihubungi dan telah pergi ke bank untuk membuat semakan akaun miliknya dan mendapati wang sejumlah RM200,060.28 telah dikeluarkan oleh suspek tanpa pengetahuan wanita tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas hilang RM200,060.28 serah kad bank kepada ‘pegawai polis’ appeared first on Kosmo Digital.