Wanita dijel 30 bulan,mengaku pecah masuk kedai makan

MELAKA – Perbuatan seorang wanita memecah masuk kedai makan dan mencuri mengundang padah apabila dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Bibi Norishah Golbal Shah, 50, yang mengaku bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati telah melakukan pecah masuk bangunan di dua kedai makan berbeza dan mencuri wang tunai serta dua buah televisyen litar tertutup (CCTV).

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 5.02 pagi hingga 5.10 pagi di sebuah kedai di Pusat Niaga Bukit Palah, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Oktober 2022.

Premis kedua dipecah masuk pada pukul antara 12.35 pagi hingga 1.20 pagi di Medan Selera Melaka Sentral dalam daerah Melaka Tengah, 23 Januari 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didapati telah memberikan dadah kepada diri sendiri jenis methamphetamine.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah masing-masing pada 4 Julai 2022 dan 4 Februari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya masih bujang dan perlu menjaga ibunya.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Asisten Supritendan Nora Yaacob bagaimanapun memohon hukuman penjara setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh melakukan jenayah tersebut secara berulang kali.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bagi setiap pertuduhan pecah kedai dan mencuri, namun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 3 Februari 2023.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dilakukan pada tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh tangkap, manakala hukuman bagi kesalahan dilakukan tahun ini ditangguhkan pada tarikh 13 Mac depan bagi penyerahan laporan patologi ujian air kencing tertuduh. – KOSMO! ONLINE

The post Wanita dijel 30 bulan,mengaku pecah masuk kedai makan appeared first on Kosmo Digital.