Usaha sama IBFIM, Unissa perkukuh kewangan Islam

PETALING JAYA – Usaha sama antara Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) yang dimuktamadkan semalam bakal me­nyaksikan program persijilan IBFIM, Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) ditawarkan kepada pelajar dan tenaga pengajar universiti itu untuk tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, kerjasama itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 2017.

Sehingga kini, program tersebut telah melahirkan seramai 19 graduan dan tiga pensyarah Unissa dengan pensijilan AQIF.
AQIF yang diakreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) telah mendapat pengiktirafan daripada Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Brunei Darussalam.

“IBFIM dan Unissa berkongsi aspirasi sama untuk melahirkan graduan terlatih dan mencapai tahap kebolehpasaran dalam kewangan Islam bukan sahaja di Brunei, malah di peringkat antarabangsa.

“Jalinan strategik ini memberi peluang untuk program baharu dibangunkan khususnya dalam bidang kelestarian, teknologi dan kewangan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian yang diadakan secara maya semalam.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 3,500 individu dari 15 buah negara yang merupakan peme­gang sijil AQIF.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam Unissa, Dr. Abdul Nasir Abdul Rani menjelaskan, perbankan Islam kini merupakan pilihan utama bagi rakyat Brunei, dengan pegangan lebih 70 peratus dalam pasaran kewangan di negara itu.

The post Usaha sama IBFIM, Unissa perkukuh kewangan Islam appeared first on Kosmo Digital.