BARCELONA – Barcelona mengakui keputusan untuk menandatangani khidmat Robert Lewandowski adalah pelaburan berbaloi selepas penyerang itu meledak hatrik untuk membantu pasukan melakar kemenangan 5-1 ke atas Viktoria Plzen pada awal pagi semalam.
Pada aksi di Camp Nou itu, Barcelona berjaya memulakan kempen Kumpulan C dengan meraih gol hasil ledakan hatrik Lewandowski, Franck Kessie dan Ferran Torres, manakala jaringan saguhati pasukan lawan diraih menerusi Jan Sykora.
Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez percaya, bekas penyerang Bayern Munich itu semakin serasi dengan rakan-rakan sepasukan, selain bijak menggunakan peluang sebaiknya.
“Saya gembira Lewandowski berjaya meledak hatrik pertamanya bersama kami dan dia kini sudah faham dengan falsafah yang cuba kita terapkan. Dia adalah pembelian yang berbaloi dan semua yang berada di sini ‘jatuh cinta’ dengan kelibatnya,” katanya.
Sementara itu, Xavi turut memuji prestasi yang dipamerkan oleh pemain sayap sensasi, Ousmane Dembele yang dianggap jelmaan Neymar selepas mencipta dua peluang jaringan.
“Dembele kembali berada pada tahap terbaik dalam kariernya dan jika dinilai prestasi ketika ini, dia boleh dianggap sebagai pemain sayap terbaik dunia dengan kualiti setanding Neymar.
“Apa yang pasti, dia boleh memberikan perbezaan buat jentera serangan kami kerana cukup bijak mencipta peluang meskipun berada dalam sudut sukar,” katanya. – AGENSI
The post UCL: Hatrik pertama Lewandowski bersama Barcelona appeared first on Kosmo Digital.