PUTRAJAYA – Kerajaaan bersetuju mengagihkan beberapa bentuk bantuan kepada ahli keluarga dan waris nahas dua helikopter di Lumut, Perak pagi semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Tanpa mengulas lanjut bentuk bantuan yang bakal diberikan, Fahmi berkata, bentuk bantuan itu akan diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat.
“Rakan-rakan media boleh merujuk perkara itu menerusi kenyataan oleh Menteri Pertahanan hari ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pertahanan juga memberi jaminan untuk menyegerakan laporan interim dan laporan penuh tragedi menyayat hati itu.
“Laporan interim mengenai nahas itu akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu manakala, laporan penuh dalam masa sebulan,” katanya.
Dalam insiden pukul 9.30 pagi kelmarin, 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter ketika latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut, Perak.
Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak. – KOSMO! ONLINE
The post Tragedi helikopter TLDM: Kerajaan setuju agih bantuan kepada waris mangsa appeared first on Kosmo Digital.