Tragedi helikopter TLDM: 10 mangsa selesai bedah siasat, dibawa keluar HRPB

IPOH – Jenazah mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, mula dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), sebentar tadi.

Jenazah pegawai dan anggota TLDM itu dibawa keluar satu persatu pada pukul 4.35 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai pada pukul 2.20 petang.

Lapan daripada 10 jenazah beragama Islam itu kemudiannya dibawa ke Surau Salahuddin Al Ayubi di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun untuk solat jenazah.

Setelah selesai, kenderaan membawa setiap jenazah digerakkan ke lokasi seterusnya untuk proses pengebumian.

Dua lagi jenazah iaitu mendiang Leftenan T. Sivasutan akan dibawa ke kediamannya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia Anak Rohna pula dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini untuk diterbangkan ke Serian, Sarawak.

Penerbangan dijangka pada pukul 6 petang itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua jenazah akan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di lokasi pengebumian mengikut permintaan keluarga masing-masing. – KOSMO! ONLINE

The post Tragedi helikopter TLDM: 10 mangsa selesai bedah siasat, dibawa keluar HRPB appeared first on Kosmo Digital.