Tiga beradik perempuan terima diploma serentak

KUALA NERUS – Tiga beradik melakar kenangan manis apabila menerima skrol Diploma Pasca Siswazah Pendidikan serentak dalam Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-16 hari ini.

Husna Mohd. Yusoff, 33, dan dua adiknya Sarah, 32, serta Asma’, 30, yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengikuti pengajian pasca siswazah terbabit untuk mengejar impian bergelar guru.

Asma’ berkata, sebelum ini mereka merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di kampung asal dengan pendapatan bulanan masing-masing RM1,000.

Dua berkata, dia dan dua adik-beradiknya mengambil keputusan menyambung pelajaran di peringkat diploma itu bagi mencerahkan harapan menjadi guru sepenuh masa.

“Ia juga harapan ibu bapa iaitu Jaharah Hamzah, 62 dan ayah, Mohd. Yusoff Mamat, 61, yang teringun melihat kami menjadi guru.

“Alhamdulillah, pengajian kami tiga beradik di UniSZA selama setahun ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis Konvokesyen UniSZA ke-16 di sini hari ini.

Mereka bertiga antara 2,818 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam konvokesyen berlangsung empat hari bermula kelmarin.

Asma’ berkata, dia dan dua kakaknya, Husna dan Sarah merupakan graduan ijazah sarjana muda di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga beradik perempuan terima diploma serentak appeared first on Kosmo Digital.