Tiada unsur jenayah, hanya kecuaian kes beg RM1juta

SHAH ALAM – Polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah sebaliknya kecuaian dalam kes kehilangan beg berisi wang RM1 juta di Ampang Point dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara tersebut hasil siasatan pihaknya menerusi keterangan saksi dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang laluan dilalui van syarikat keselamatan tersebut.

Katanya, beg berisi wang tersebut hanya disedari hilang selepas van keselamatan itu tiba di sebuah bank di Kuala Lumpur selepas proses kutipan dari cawangan bank sama di Ampang Point.

“Hasil penelitian tiada unsur jenayah sama ada curi atau merompak wang tersebut.

“Berpandukan keterangan saksi dan CCTV, kita nampak pintu belakang terbuka dan jatuh semasa selekoh di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). Jadi, ada kecuaian semasa tutup pintu van tersebut,” katanya ketika pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Hussein bagaimanapun, menegaskan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

“Kes masih diklasifikasikan mengikut Sekyen 379 Kanun Keseksaan dan kita tunggu keputusan DPP.

“Wang tersebut juga masih dalam simpanan polis dan juga menunggu tindakan lanjut dari DPP (hasil kertas siasatan yang diserahkan) sebelum dipulangkan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan dua suspek lelaki berusia 52 tahun dan suspek wanita, 38 yang merupakan pengawal keselamatan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu.

Terdahulu Kosmo! melaporkan beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang semalam dalam kejadian di Ampang Point, sudah ditemui semula orang awam sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada unsur jenayah, hanya kecuaian kes beg RM1juta appeared first on Kosmo Digital.