Tiada kompromi jika salah laku, beri imej buruk pada PDRM – Razarudin

KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua yang terlibat dalam isu salah laku yang memberi imej buruk kepada pasukan.”

Demikian kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap di Perhimpunan Ketua Polis anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), hari ini.

Ujarnya, trend penglibatan pegawai polis dalam salah laku jenayah, dadah dan disiplin dilihat semakin meruncing.

“Bukan sahaja gagal dalam penyeliaan, malah ada yang turut sama terlibat dalam kes jenayah, sepertimana yang terkini, seorang ASP bersama enam Pegawai Rendah Polis yang ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita semasa siasatan kes narkotik.

“Semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku.

“Kepimpinan di semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan melibatkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau,” katanya.

Razarudin berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan mengesan salah laku pegawai polis.

Tambahnya, penyeliaan secara ‘close monitoring’ dilaksanakan dengan lebih berkesan antaranya melalui pelaksanaan ujian saringan awal urin secara berkala.

“Penyelia perlu memantau pegawai yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan.

“Tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya terkesan penglibatan dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, mahupun lain-lain kesalahan yang berkaitan.

“Kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan pastikan tidak berulang lagi,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

The post Tiada kompromi jika salah laku, beri imej buruk pada PDRM – Razarudin appeared first on Kosmo Digital.