Terkena penyakit misteri, Almi Nadia tertekan lihat keadaan suami

PETALING JAYA – Pelakon Datin Almi Nadia sedih melihat keadaan suaminya, Datuk Fizz Fairuz yang dikatakan terkena penyakit misteri selepas pulang dari penggambaran drama seram beberapa minggu lalu.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Almi berkata, suaminya kini berubah apabila kerap kali termenung seorang diri selain hilang selera makan.

“Memang pasal kau (merujuk pada sedutan drama lakonan Fizz), laki aku kurus kering sakit tau. Balik dari shooting (penggambaran) cerita ni lah, suami saya dilanda sakit misteri sampai tak makan tak minum sepanjang dua minggu.

“Sampai diserang sakit gastrik tau, walapun dah berubat tapi bekas sisa baki tu masih ada ya. Sekarang dah pulih tapi dia masih dilanda sakit termenung, moody (muram), susah senyum dan tak ceria macam dulu,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Almi turut memuat naik sedutan babak dilakonkan Fizz yang ketika itu sedang bersama topeng dikenali sebagai barongan.

Menurut Almi atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 35, semuanya berlaku selepas suaminya menjalani penggambaran drama Malaysian Ghost Stories terbitan Astro di sebuah kampung Bernama Sahom terletak di Gopeng, Perak.

“Realitinya aku sekarang tengah tertekan dan jadi sedih sebab suami aku yang dulunya ceria dan gembira, tapi sekarang sakit. Nak pulihkan sakit dia bukan senang,” luahnya lagi.

Terdahulu, Fizz terpaksa dimasukkan ke hospital selepas badannya lemah kerana tidak makan selama dua minggu selain diserang sakit gastrik yang teruk.

Untuk rekod, Malaysian Ghost Stories merupakan drama himpunan cerita seram berbeza episod dan ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis untuk saluran Astro Ria bermula pukul 11 malam. – K! ONLINE

The post Terkena penyakit misteri, Almi Nadia tertekan lihat keadaan suami appeared first on Kosmo Digital.