Terima kasih semua doakan keselamatan adik – Kakak Prebet Syafiq

BALING – “Kami sekeluarga tidak putus-putus berdoa dan alhamdulillah akhirnya Syafiq dijumpai selamat setelah 19 hari hilang dalam hutan di Sarawak”.

Demikian kata Syazwani Abd. Halim, 24, kakak kepada anggota tentera darat, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi, 22, ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuala Pegang, di sini hari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana doa mereka sepanjang kehilangan Muhammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dimakbulkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang turut mendoakan keselamatan adik dan juga pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari adik,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, bapanya, Abd. Halim Abdul Kadir, 56, sangat sedih dan bimbang dengan keadaan adik selepas dilaporkan hilang di dalam hutan tebal tersebut sejak 18 Jun lepas.

“Ayah ketika ini kurang sihat dan tidak ikut ibu, Zawiyah Salleh, 55, yang dijemput pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Sarawak kira-kira pukul 8 malam tadi,” ujarnya.

Menurutnya, penduduk kampung juga menganjurkan kenduri doa selamat sempena penemuan adik di Masjid Kampung Mengkuang, di sini semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhammad Syafiq yang merupakan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu, ditemui selamat semalam. – KOSMO! ONLINE

The post Terima kasih semua doakan keselamatan adik – Kakak Prebet Syafiq appeared first on Kosmo Digital.