HULU SELANGOR- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis dilihat melawat lokasi kejadian tanah runtuh, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands setelah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Walaupun dalam keadaan cuaca hujan, beliau tetap hadir menyantuni anggota penyelamat untuk memberikan semangat kepada mereka.
“Saya diserang angin ahmar ringan Isnin lepas dan kini berada dalam keadaan baik. Cuma doktor kata saya perlukan rawatan lanjut selepas ini.
“Saya ingin berjumpa dengan anak-anak buah saya yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk berikan semangat kepada mereka.
“Insya-Allah, kami akan sedaya upaya mencari baki tiga lagi mangsa yang hilang,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan semua pihak kerana memberikan semangat kepada pihaknya sehingga dapat menemui 30 mangsa.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Norazam dikejarkan ke Hospital Selayang pada Isnin lepas sekitar pukul 6 petang akibat keletihan dan minor strok.
Walau bagaimanapun, keadaan beliau terkawal dan masih sedar diri.
Norazam terlibat secara langsung dalam mengetuai pasukan Bomba dan Penyelamat sejak Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Tanah runtuh: Keluar dari hospital, Norazam terus ke lokasi kejadian appeared first on Kosmo Digital.