GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes serangan sekumpulan lelaki terhadap seorang peguammenggunakan besi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini 2 pada 22 Oktober lalu dengan tertangkapnya suspek utama di Bayan Lepas, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 10.50 malam tadi.
“Individu terbabit yang berperanan sebagai perancang utama serangan tersebut juga telah didakwa di Mahkamah Majistret pagi ini mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
“Justeru, kes yang menarik perhatian masyarakat umum ini dapat diselesaikan susulan tangkapan dan pertuduhan yang telah dikenakan terhadap keempat-empat suspek yang terlibat,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM8,000.
Terdahulu, media melaporkan yang polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 pada 22 Oktober lalu,
Serangan yang berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan pada kepala.
Tindakan susulan kemudian membawa kepada tangkapan tiga lelaki tempatan yang berusia antara 36 sehingga 41 tahun yang kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret pada 24 Disember lalu atas pertuduhan mencederakan seorang peguambela menggunakan sebatang besi.
Bagaimanapun ketiga-tiga individu yang bekerja sebagai eksekutif jualan mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi setiap tertuduh.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi bantuan sepanjang siasatan kes berkenaan. -KOSMO! ONLINE
The post Suspek utama pukul peguam hingga parah diberkas appeared first on Kosmo Digital.