TUMPAT – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sarat membawa seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar ditahan selepas merempuh kenderaan polis semasa cuba meloloskan diri di Kampung Pohon Tanjung, Wakaf Bharu di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 8.47 malam itu berlaku semasa anggota unit peronda polis (MPV) menjalankan rondaan Jalan Bendang Morak di sini sebelum melihat sebuah kenderaan jenis Proton Exora dipandu dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah Kampung Kepulau.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, anggota polis cuba menahan MPV itu dengan membuka lampu mata arah (Beacon Light) dan siren, namun kenderaan itu terus memecut laju secara berbahaya.
Menurutnya, MPV itu turut melanggar lampu isyarat merah di Wakaf Bharu sebelum anggota polis terus mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Pasir Pekan.
“Pemandu kenderaan itu turut bertindak agresif apabila merempuh bahagian kanan MPV polis sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan semasa memasuki susur jalan ke Kampung Pohon Tanjung Wakaf.
“Pemandu dan penumpang depan kenderaan itu melompat keluar dari MPV tersebut sebelum melarikan diri ke arah semak. Salah seorang suspek bagaimanapun dapat ditahan manakala seorang lagi lolos ke arah kawasan gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, pemeriksaan di dalam MPV Proton Exora itu kemudian menjumpai seramai 20 orang lelaki warganegara Myanmar.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, suspek yang ditahan merupakan warganegara tempatan dipercayai menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI itu.
“Kesemua PATI yang diberkas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Sumbat 20 PATI Myanmar dalam Proton Exora appeared first on Kosmo Digital.