Suami mohon poligami, isteri perlu rekod nafkah ikut keperluan

PETALING JAYA – Para isteri diingatkan untuk merekodkan nafkah mengikut keperluan dirinya dan anak-anak secara jelas serta mencukupi, bukan hanya sekadar ala kadar sekiranya suami memohon berkahwin lain.

Peguam syarie, Khairul Fahmi Ramli berkata, sekiranya pihak suami hanya mampu memberi nafkah dalam jumlah sedikit kepada isteri dan anak-anak, ia menunjukkan lelaki tersebut tidak layak untuk berpoligami.

“Kalau nafkah anak dan nafkah isteri pun suami takat nak bagi ala kadar, baik tak payah la poligami,” katanya dalam satu perkongsian di kumpulan Telegram hari ini.

Selain itu, beliau turut memesan agar golongan isteri segera menghadirkan diri ke mahkamah sekiranya dipanggil selepas menerima permohonan poligami daripada suami.

Katanya, kehadiran isteri ke mahkamah adalah penting bagi merekodkan segala keperluan nafkah yang diperlukannya dan anak-anak.

“Kalau anda mungkin marah itu biasa. Kalau anda mungkin setuju dan tak marah pun itu biasa. Tapi, tolong jangan tak pergi ke mahkamah bila dipanggil.

“Bila dihadapan hakim, hakim hanya nak tahu, jika anda setuju poligami ini, apa hak yang anda nak direkodkan. Ini kuasa hakim. Mintak direkodkan nafkah diri anda ikut keperluan yang anda perlu.

“Kedua, mintak direkodkan nafkah untuk anak-anak anda. Rekod ikut keperluan, bukan ikut ala kadar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Suami mohon poligami, isteri perlu rekod nafkah ikut keperluan appeared first on Kosmo Digital.