Suami isteri ditahan dera anak

KLUANG – Sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka berusia tiga tahun selepas menerima maklumat kejadian daripada Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penahan pasangan berusia 20an itu kira-kira pukul 1.50 pagi hari ini di pekarangan hospital terbabit.

Katanya, sebelum itu pihak polis menerima panggilan telefon daripada seorang doktor yang bertugas di Wad Kecemasan pada pukul 9.50 malam semalam.

“Melalui maklumat itu, pihak hospital telah menerima seorang pesakit iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang mempunyai kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai didera.

“Semakan mendapati kedua-dua tahanan yang juga warga tempatan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan pasangan suami isteri itu telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

The post Suami isteri ditahan dera anak appeared first on Kosmo Digital.