Stoking kalimah Allah: Wai Loong dituduh semula, mengaku tidak salah buat hantaran jelik

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruteknik aplikasi sosial yang didakwa semula, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran bersifat jelik berkaitan stoking kalimah Allah.

Tertuduh Chiok Wai Loong, 34, yang memakai baju penjara berwarna merah membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Saya faham (pertuduhan), saya tidak mengaku salah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Wai Loong didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil “Chiok Wai Loong” pada 18 Mac 2024.

Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3 pagi di daerah Brickfields di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin .

“Syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak membuat hantaran hingga kes selesai perbicaraan,” katanya.

Namun peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memohon jaminan tidak lebih RM4,000 dengan seorang penjamin atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan muflis.

“Anak guam memberi kerjasama penuh sejak mula dibawa dari mahkamah. Dia bankrap (muflis) dan tidak akan ke mana-mana,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Aminah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.

Tarikh 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu dalam prosiding pagi tadi, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang menjatuhkan hukuman hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap Wai Loong.

Hakim Datuk Ahmad Bache, membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan yang difailkan Wai Loong selaku pemohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini oleh
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada 22 Mac lalu.

Mahkamah Tinggi berpendapat, pengakuan salah dibuat Wai Loong sebelum ini adalah bukan akuan yang jelas dan tidak boleh diterima. – KOSMO! ONLINE

The post Stoking kalimah Allah: Wai Loong dituduh semula, mengaku tidak salah buat hantaran jelik appeared first on Kosmo Digital.