Sindiket edar dadah ikrar sebagai suplemen kesihatan rupanya kokain

SEREMBAN – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen kesihatan (makanan tambahan) dengan memasukkan dadah jenis kokain ke dalam kapsul dengan rampasan keseluruhan bernilai RM17.6 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, modus operandi tersebut dikesan pertama kali digunakan sindiket, namun berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi rampasan dadah jenis kokain pada 1 Ogos lalu.

“Sindiket tersebut ditumpaskan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menerusi serbuan pada pukul 8 malam, 1 Ogos lalu dan telah menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak mengandungi botol kaca yang turut mengandungi kapsul disyaki dadah berbahaya jenis kokain dianggarkan 88 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM17.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Menurut Zazuli, dadah berkenaan dimasukkan dalam botol kaca dan dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Eropah Barat.

“Botol kaca berkenaan mengandungi 995 kapsul berwarna putih yang dipercayai berisi kokain. Malah turut ditemui di dalam kotak bersama botol kaca adalah empat cakera brek yang diletakkan di tengah-tengah.

“Modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket edar dadah ikrar sebagai suplemen kesihatan rupanya kokain appeared first on Kosmo Digital.