JOHOR BAHRU – Seorang wanita berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM751,070 lesap akibat terperdaya dengan sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 55 tahun, semalam.
Katanya, mangsa mula diperkenalkan dengan pelaburan yang ditawarkan di media sosial itu pada 18 September lalu oleh seorang kenalan di platform sama.
“Mereka kemudian mula berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp, dengan individu berkenaan menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Mangsa tertarik dengan keuntungan telah memuat turun satu aplikasi dan melakukan 22 transaksi ke empat akaun berbeza sejak 7 November hingga 13 Disember lalu dengan nilai keseluruhan RM751,070,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Balveer Singh, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila diminta membuat pembayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan terdahulu.
“Polis juga akan menjalankan siasatan sama ada terdapat penglibatan keldai akaun, jika ada tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Simpanan RM751,070 lesap terperdaya pelaburan tidak wujud appeared first on Kosmo Digital.