PETALING JAYA – Kira-kira 1.3 juta daripada 15 juta penduduk yang bekerja di negara ini telah melakukan semakan kendiri untuk mengakses dan menguruskan maklumat kredit peribadi masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS) Eric Chin berkata, laporan kredit yang disediakan pihaknya akan melibatkan maklumat terperinci mengenai hutang-piutang, sejarah akaun bagi kad kredit dan pinjaman seseorang serta sejarah pembayaran, termasuk pembayaran lewat, had kredit atau amaun pinjaman, baki akaun serta pertanyaan kredit.
Menurut beliau, kes guaman dan kes kemuflisan juga dilampirkan dalam bahagian berasingan serta juga senarai pemegang jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan.
Berdasarkan jumlah pemeriksaan kendiri untuk mengakses maklumat kredit peribadi masih rendah, CTOS telah melancarkan laporan MYCTOS percuma bersama CCRIS kepada para penggunanya.
“CTOS berhasrat untuk memperkasakan seberapa ramai individu dengan pelbagai maklumat untuk membolehkan pelanggan membuat keputusan kewangan yang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan masa yang amat mencabar ini.
“Adalah penting bagi masyarakat untuk mempunyai pemahaman tentang kedudukan kewangan masing-masing supaya mereka dapat mencapai matlamat kewangan yang diingini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, Chin menerangkan, selain menyemak laporan kewangan peribadi, bakal pemilik hartanah juga boleh membuat semakan terhadap laporan kredit pemohon sebelum membuat keputusan untuk menyewakan hartanah mereka atau tidak.
Perkhidmatan itu juga boleh membantu majikan yang mahu menyemak laporan kredit untuk proses permohonan kerja.
Laporan MyCTOS percuma bersama kempen CCRIS ini ditawarkan sehingga 31 Julai ini.
The post Semak maklumat kredit peribadi percuma melalui MYCTOS appeared first on Kosmo Digital.