Selebriti miliki dadah: Siasatan dijalankan secara telus – Sasikala

SEPANG – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor memaklumkan telah menjalankan siasatan secara telus berhubung kes seorang selebriti ditahan kerana memiliki dadah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan telah dijalankan mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa dakwaan yang tidak disahkan boleh berpontensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kami ingin memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyebar kandungan yang tidak sahih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sasikala berkata, kertas siasatan kes telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya semalam dan telah mendapat arahan pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media sebelum ini melaporkan, isteri kepada Along Cham atau nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mendakwa dia dipaksa oleh salah seorang anggota polis supaya menukar kenyataan yang diberikan dalam laporan berhubung penangkapan suaminya. – KOSMO! ONLINE

The post Selebriti miliki dadah: Siasatan dijalankan secara telus – Sasikala appeared first on Kosmo Digital.