“Saya hanya ada jasad, tapi tidak lagi hidup”

KUALA LUMPUR – “Saya hanya ada jasad, tapi tidak lagi hidup.”

Begitulah luahan seorang wanita warga emas yang hidupnya musnah selepas terjerat dengan hutang Along ketika cuba membantu anak perempuannya melangsaikan hutang kad kredit.

Wanita malang itu berkata, kehidupannya kini musnah akibat hutang Along yang pada mulanya hanya RM600 tetapi kini meningkat hingga mencecah RM100,000.

“Semua ini bermula apabila anak perempuan saya gagal melunaskan hutang peribadi dan kad kredit yang berjumlah hampir RM400,000.

“Sebagai seorang ibu, saya terpaksa membantunya, walaupun ketika itu saya sendiri menghadapi masalah kewangan kerana perniagaan saya bermasalah,” katanya ketika bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Menurut wanita itu, desakan untuk mendapatkan wang membuatkan dia meminjam daripada Along selepas permohonan pinjaman sah ditolak kerana faktor usia.

“Hutang pertama saya dengan Along hanya RM1,000, tetapi saya hanya menerima RM500 hingga RM600 selepas ditolak faedah.

“Kini, saya berhutang dengan dua Along dan jumlahnya terus meningkat. Lebih menyedihkan, anak saya telah pergi ke luar negara untuk mencari kehidupan lebih baik meninggalkan saya menanggung beban ini sendirian,” katanya.

Wanita itu mengakui telah membuat laporan polis kerana tidak mampu melunaskan hutang yang terus bertambah setiap hari.

Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan, pinjaman yang diambil wanita tersebut diberikan oleh syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang melanggar undang-undang.

“Semua pemberi pinjaman wang perlu mendapatkan lesen sah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Mereka juga wajib mematuhi undang-undang, termasuk tidak menawarkan pinjaman secara dalam talian atau di luar premis,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

The post “Saya hanya ada jasad, tapi tidak lagi hidup” appeared first on Kosmo Digital.