Saintis temui spesies ular terbesar dunia

QUITO, Ecuador – Sekumpulan saintis yang melakukan penyelidikan di hutan hujan Amazon menemui spesies ular baharu dikatakan terbesar di dunia, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Pasukan penyelidik Universiti Queensland itu mengembara ke hutan hujan Amazon di sebelah Ecuador untuk mencari ular anakonda hijau yang tidak pernah didokumentasi sebelum ini.

“Pasukan kami menyertai beberapa pemburu dalam satu ekspedisi selama 10 hari di Bameno, Wilayah Baihuaeri Waorani, sebelum mendayung menyusuri sungai untuk mencari anakonda hijau.

“Saiz haiwan ini adalah luar biasa. Seekor anakonda betina yang kami temui berukuran 6.3 meter panjang,” kata ahli biologi, Profesor Bryan Fry yang mengetuai pasukan itu.

Pasukan sama turut mendengar khabar angin bahawa seekor ular anakonda sepanjang 7.5 meter dengan berat 500 kilogram dilihat di kawasan itu.

Anakonda hijau adalah ular paling berat di dunia, demikian menurut Muzium Sejarah Semula Jadi Britain. Menurutnya, anakonda hijau paling berat pernah direkodkan ialah seberat 227 kilogram.

Ia juga berukuran panjang 8.43 meter dan 1.11 meter lebar.

Pakar-pakar mendapati bahawa genetik spesies anaconda hijau utara yang baru dikenal pasti itu menyimpang daripada anaconda hijau selatan hampir 10 juta tahun yang lalu iaitu sebanyak 5.5 peratus. – AGENSI

The post Saintis temui spesies ular terbesar dunia appeared first on Kosmo Digital.