Remaja maut motosikal terbabas rempuh besi penghadang jalan

GUA MUSANG – Seorang remaja maut selepas motosikal yang dia tunggang hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Bandar Utama sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Abdul Aziz Shah Mohamed, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan luka di perut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda RS 50 dari arah Kuala Krai menghala ke arah Gua Musang.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut yang melalui kawasan selekoh ke kanan jalan dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang di sebelah kiri bahu jalan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan luka di perut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

 

The post Remaja maut motosikal terbabas rempuh besi penghadang jalan appeared first on Kosmo Digital.