Remaja maut motosikal ditunggangi terperosok bawah kereta

TENOM – Seorang remaja lelaki maut selepas terperosok di bawah kereta ekoran motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 4, Jalan Tenom-Keningau kelmarin.

Mangsa berusia 19 tahun warga Filipina berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian pukul 6.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Hyundai Atos dari arah Tenom memasuki simpang Taman Sri Naluyan telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang menuju ke arah Tenom.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas jalan raya dan dipercayai tidak sedarkan diri. Sejurus itu, sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi dari arah Keningau menuju ke Pekan Tenom tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar mangsa penunggang motosikal di laluan kenderaannya.

“Penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta telah terseret sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hasan berkata, pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan penunggang motosikal berkenaan yang parah di kepala dan badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Remaja maut motosikal ditunggangi terperosok bawah kereta appeared first on Kosmo Digital.