SEREMBAN – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan wang cagaran RM1,000 di Mahkamah Khas Trafik di sini hari ini atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu sehingga mencederakan anggota polis trafik, pada Julai lalu.
Mahkamah turut menggantung lesen memandu tertuduh yang masih di bawah umur selama lima tahun bagi kesalahan tersebut.
Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda susulan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 13 September lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah menunggang motosikal di jalan raya dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di Kilometer 36 arah Selatan Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) di sini pada 28 Julai lalu.
Pada 28 Julai lalu, media melaporkan anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer 36 arah Selatan, Lebuhraya Lekas.- KOSMO! ONLINE
The post Remaja langgar polis trafik dikenakan bon berkelakuan baik, lesen digantung appeared first on Kosmo Digital.