SEOUL – Presiden Korea Selatan yang baru dipilih, Yoon Suk-yeol mahu menghapuskan kaedah pengiraan umur secara tradisional yang dipraktikkan di Semenanjung Korea beratus-ratus tahun lamanya, lapor Badan Penyiaran Britain(BBC) semalam.
Ketua Jawatankuasa Peralihan Presiden, Lee Yong-ho berkata, pentadbiran baharu Suk-yeol sedang menilai untuk menyeragamkan kaedah mengira umur dalam usaha menjadikan Korea Selatan sama seperti negara lain di seluruh dunia.
“Kaedah pengiraan dikenali sebagai Umur Rakyat Korea itu menyebabkan kekeliruan dan mewujudkan kos sosial dan ekonomi yang tidak perlu,” katanya.
Terdapat tiga cara untuk mengira umur seseorang di Korea Selatan. Secara rasmi, negara itu menggunakan sistem kiraan antarabangsa berpandukan tarikh lahir dalam kebanyakan definisi perundangan serta proses pentadbiran sejak 1962.
Kaedah rasmi kedua adalah setiap bayi dilahirkan dengan umur 0 tahun, dan akan meningkat satu tahun usia setiap 1 hari bulan Januari.
Menerusi kaedah ini, bayi yang lahir pada Disember 2020 contohnya, akan berusia dua tahun pada Januari 2022.
Kaedah mengira usia tersebut mempengaruhi peratusan besar populasi Korea Selatan dalam pelbagai aspek termasuk khidmat kerahan tenaga dan menentukan usia juvenil.
Cara lama itu digunakan dalam setiap lapisan masyarakat, di mana setiap individu secara automatik akan berumur setahun ketika dilahirkan dan bertambah satu tahun lagi pada 1 Januari tanpa mengambil kira tarikh lahir mereka.
Kaedah tersebut dikatakan berasal dari China dan beberapa bahagian lain di rantau Asia, namun Korea Selatan dipercayai satu-satunya negara yang masih mengamalkannya.
“Globalisasi menjadikan penduduk Korea semakin sedar tentang kepentingan sistem pengiraan umur antarabangsa. Cara lama memberi kesan negatif kepada golongan muda kerana mereka berpendapat bahawa rakyat negara ini diejek disebabkan sistem tersebut,” kata Profesor Undang-Undang dan Polisi Universiti Hansung, Kim Eun-ju. – AGENSI
The post Rakyat Korea Selatan akan jadi setahun lebih muda appeared first on Kosmo Digital.