Putuskan bekalan elektrik konsert jika aksi tidak senonoh

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert artis luar negara di Malaysia diminta bersedia dengan ‘Kill Switch’ untuk menghentikan serta merta persembahan jika berlaku kelakuan tidak senonoh di atas pentas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, ‘Kill Switch’ bagi menghentikan konsert berkenaan adalah dengan memutuskan bekalan elektrik supaya persembahan tidak dapat diteruskan.

“Ini garis panduan daripada insiden (The 1975) dan kita berharap dengan garis panduan lebih ketat dapat memastikan persembahan artis luar mengikut budaya Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) menyekat kemasukan artis barat yang membawa unsur LGBT ke dalam negara ini seperti insiden konsert The 1975.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membantu KKD menyemak latar belakang artis luar negara untuk memastikan mereka tidak mempromosikan unsur negatif.

Kata beliau, Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) merupakan pusat setempat yang memproses dan mempertimbangkan permohonan kemasukan artis dan kru luar negara.

Ujar beliau, ketika penganjuran konsert, Puspal akan memastikan jawatankuasanya diletakkan di lokasi konsert bersama anggota PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan. – KOSMO! ONLINE

The post Putuskan bekalan elektrik konsert jika aksi tidak senonoh appeared first on Kosmo Digital.