PRN: Polis pantau aktiviti judi bertaruh keputusan pilihan raya

GEORGE TOWN – Polis memantau rapi aktiviti perjudian membabitkan pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang akan diadakan 12 Ogos ini.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, aktiviti itu dikesan dilakukan dalam skala kecil dan tidak melibatkan mana-mana sindiket.

“Setakat ini kita monitor, ada (aktiviti judi pilihan raya) bukan melalui sindiket, secara kecil-kecilan itu ada.

“Mereka bertaruh siapa menang dan siapa kalah, setakat ini tiada tangkapan lagi dilakukan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Suasana hari pengundian awal di IPK Pulau Pinang melibatkan pegawai dan anggota, hari ini. – Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

Terdahulu, Kok Chin meninjau proses undi awal yang dijalankan di Dewan Mutiara, IPK pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon. Sementara itu, hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, setakat ini jumlah kawasan panas yang dikesan di Pulau Pinang masih kekal dua lokasi iaitu di DUN Permatang Pasir di Parlimen Permatang Pauh, dan DUN Bayan Lepas di Parlimen Balik Pulau.

Sementara itu, katanya, seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Kok Chin berkata, seramai 217 pegawai polis telah ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

The post PRN: Polis pantau aktiviti judi bertaruh keputusan pilihan raya appeared first on Kosmo Digital.