PRN: Kalau saya sebut 3R, saya pun akan disiasat – IGP

SHAH ALAM – Tiada siapa akan dikecualikan sekiranya menyentuh isu berkaitan 3R iaitu agama (Religion), raja (Royalty) dan bangsa (Race) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mempunyai pasukan petugas khas yang akan memantau sepanjang isu bermula dari hari penamaan calon sehingga hari mengundi.

Katanya, ini termasuk pasukan perakam dan pegawai penyiasat dengan isu-isu berkaitan 3R ini sepatutnya tidak disentuh mana-mana pihak.

“Saya sebut macam ini, bila sebut 3R, kalau saya sebut juga 3R atau isu-isu sensitif lain, saya juga akan disiasat.

“Kita tidak akan kira siapa pun orang awam, ahli politik, ahli perniagaan kalau dia sebut tentang 3R, isu sensitif, kita akan siasat sekiranya ada keterangan,” katanya, pada sidang akhbar persiapan PRN Selangor di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertikai arahan supaya tidak menyentuh isu sensitif 3R iaitu bangsa, agama dan institusi diraja ketika kempen PRN nanti.

Jelas Razarudin, siasatan berkenaan isu 3R itu akan disiasat sama ada daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE

The post PRN: Kalau saya sebut 3R, saya pun akan disiasat – IGP appeared first on Kosmo Digital.