PRN: Angin ahmar tidak halang pegawai polis keluar mengundi

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis yang kurang upaya untuk berjalan akibat menghidap angin ahmar tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Pusat Taska, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Che Mustapa Che Ahmad, 60, yang menghidap angin ahmar sejak enam tahun lalu hadir ke pusat mengundi dengan bertongkat sambil ditemani anggota bertugas.

Menurut Che Mustapa, walaupun merupakan orang kelainan upaya (OKU), dia tetap hadir untuk menunaikan tanggjuwab sebagai pengundi.

“Ini kali kedua saya mengundi awal dengan hadir bertongkat sejak bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. Sebelum ini saya bertugas di Kuala Lumpur.

“Kecacatan tidak menghalang saya untuk menunai tanggungjawab sebagai pengundi demi memilih calon yang terbaik untuk memimpin negeri ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Taska, IPK Kelantan di sini, hari ini.

Che Mustapa yang bertugas di Bahagian Pengangkutan IPK berkata, dia ketika ini sedang bercuti sebelum bersara wajib pada September ini. – KOSMO! ONLINE

The post PRN: Angin ahmar tidak halang pegawai polis keluar mengundi appeared first on Kosmo Digital.