HULU SELANGOR – Kemunculan ‘mengejut’ seorang calon Bebas dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada saat akhir bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Pada PRK kali ini, calon Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut.
Beliau turut menerima tentangan calon Bebas iaitu, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin.
Terdahulu, Khairul Azhari merupakan calon pertama memasuki dewan diikuti, Sock Tao bermula pukul 9 pagi manakala Ke Xin (9.10 pagi) serta Chng Boon Lai (9.40 pagi) dan Hafizah pada pukul 9.47 pagi.
Bagaimanapun, Boon Lai yang hadir sebagai calon Bebas menarik balik kertas penamaannya sekali gus tidak akan bertanding pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Sehubungan itu, Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin berkata, tiada kertas penamaan calon yang ditolak oleh pihaknya.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE
The post PRK Kuala Kubu Baharu: Pertembungan ‘mengejut’ 4 penjuru appeared first on Kosmo Digital.