SERDANG – Polis sedang memburu seorang lelaki yang mengamuk dan memukul cermin topi keledar seorang jurugambar dalam satu kejadian di Jalan Besar Seri Kembangan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, jurugambar yang berusia 36 tahun itu membuat laporan polis susulan daripada kejadian tersebut.
“Pada pukul 4.50 petang kelmarin, mangsa telah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 sempat menghentikan motosikalnya tetapi pemandu Triton tersebut mengundurkan kenderaannya ke belakang dan terus melanggar mangsa sehingga motosikalnya terperosok masuk di bawah kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, semasa sedang berbincang bagi menyelesaikan kemalangan tersebut, pemandu yang berbadan besar serta mempunyai tatu itu, mengamuk dan memukul cermin topi keledar milik mangsa sehingga retak.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan pihaknya akan mendapatkan pengesahan hospital sekiranya terdapat kecederaan dalaman.
“Kejadian tersebut dapat dirakam menerusi rakaman video ‘dashcam’ oleh seorang saksi yang berada di lokasi kejadian,” ujarnya. – K! ONLINE
The post Polis buru pemandu Mitsubishi Triton serang jurugambar appeared first on Kosmo Digital.