SEREMBAN – Kementerian Pertahanan akan menambah perwakilan kuasa bagi mempercepatkan penyempurnaan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada baki 45,000 veteran tentera yang belum menerimanya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum ini perwakilan kuasa diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua-ketua Perkhidmatan ATM tetapi beliau memutuskan untuk diberikan juga kuasa kepada panglima dalam cabang lain ketenteraan.
Mohamad berkata, perwakilan kuasa baharu itu termasuk Panglima Medan Tentera Darat Malaysia, Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panglima Wilayah Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia serta yang setaraf untuk diberikan kuasa yang sama.
“Terdapat lebih 40,000 veteran yang masih menunggu, jika kami tidak tambah (perwakilan kuasa) sehingga tahun 2049 baru habis, jadi ia perlu dipercepatkan kerana ramai yang masih belum menerima pingat (PJM).
“Kami cuba untuk buat penganugerahan secepat mungkin dengan penambahan bilangan (perwakilan kuasa) dan majlis-majlis diperbanyakkan supaya masa menunggu itu dapat dikurangkan tempohnya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada seramai 450 orang veteran ATM, balu serta wakil yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.
Menurut Mohamad, penganugerahan PJM adalah daripada Yang di-Pertuan Agong dan statusnya perlu dijaga gang mana perwakilan kuasa yang dilantik sebaiknya dalam kalangan kuasa yang tinggi tidak boleh terlalu bawah (kuasa).
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kementerian akan menambah peruntukan sebanyak RM21 juta selaras dengan cadangan pihaknya supaya seramai 6,000 lagi veteran ATM berpeluang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
“Sebelum ini, sedia ada seramai 9,000 orang kami mahu tambah seramai 6,000 lagi menjadikan keseluruhan 15,000 penerima BSH veteran ATM.
“Kami akan bawa kepada kerajaan sebagai tambahan bajet, jika tiada pun pihak kementerian akan lakukan secara dalaman untuk disegerakan bagi memastikan kebajikan ahli-ahli veteran yang benar-benar layak dapat kita berikan BSH,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Perwakilan kuasa ditambah percepatkan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia appeared first on Kosmo Digital.