PETALING JAYA – Berita nahas kemalangan yang mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun menjadi tumpuan utama sekali gus meruntun hati pengguna media sosial hari ini.
Ramai yang menyifatkan kematian ketiga-tiga pelajar itu adalah pemergian yang sangat menyayat hati ekoran kesemua mangsa baru sahaja mendaftar semester baharu, pada minggu lepas.
Kesemua mangsa tersebut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, dan Mohd. Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20.
Paling meruntun hati, ibu bapa kepada Ku Adib Aizad baru sahaja bertolak ke Mekah untuk mengerjakan umrah kira-kira pukul 5.35 petang semalam sebelum sampai Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).
Pasangan itu difahamkan berpatah balik ke Malaysia pada pukul 1.55 pagi (waktu tempatan) dan dijangka tiba kira-kira pukul 4 petang, hari ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai yang mengucapkan takziah buat seluruh keluarga mangsa selain mendoakan agar diberikan ketabahan menghadapi ujian yang besar ini.
“Sedihnya. Hantar anak minggu lepas untuk belajar, tapi terima berita kematian yang menyayat hati,” komen Aman.
“Sebaknya ibu bapa hantar anak belajar elok-elok, pulangnya anak dah tak bernyawa. Moga tabah buat keluarga dan semoga arwah ditempatkan dalam golongan beriman,” komen Wawa.
“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa. Semoga Allah menempatkan kesemuanya dalam golongan para syuhadah,” komen Alif pula.
Terdahulu, tiga pelajar UiTM Dungun tersebut maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita, malam tadi.
Ketika kejadian, kesemua pelajar dalam perjalanan pulang ke kampus menaiki motosikal sebaik selesai malam malam bersama.
Sementara itu, ramai juga menggesa pihak polis menjalankan siasatan sewajarnya terhadap pemandu wanita tersebut bagi mendapatkan keadilan buat kesemua mangsa.
“Kalau betul pemandu wanita itu tidak sihat, minta polis jalankan siasatan sewajarnya. Macam mana boleh bawa kereta di atas jalan raya,” komen Hafiz.
“Pernah nampak wanita itu di kawasan universiti sejak kebelakangan ini. Nampak macam tak waras. Apa-apa pun, kena siasat macam mana dia lepas bawa kenderaan,” komen Hakim pula.
Sehingga kini, jenazah kesemua mangsa sudah pun dituntut oleh keluarga masing-masing di Unit Forensik Hospital Dungun dan sudah pun disembahyangkan di Masjid UiTM Dungun.
Jenazah kesemua mangsa kemudiannya dibawa pulang ke kampung masing-masing iaitu di Ukay Perdana, Ampang, Saujana Utama, Sungai Buloh dan Muar, Johor bagi urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pergi hantar anak belajar, pulang dengan jasad tidak bernyawa’ appeared first on Kosmo Digital.