Penyamun larikan shortgun, 200 peluru

TAMPIN – Seorang penoreh getah dikejutkan dengan kediamannya dipecah masuk serta senjata api miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Kampung Air Kuning Selatan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, kira-kira pukul 9.51 malam tadi, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian pecah rumah mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 60 tahun itu.

Menurutnya, kejadian tersebut telah mengakibatkan mangsa kehilangan selaras senjata api jenis shortgun 12 bore, 200 butir peluru 12 bore, dan seunit peti besi simpanan senapang.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian pecah rumah dipercayai berlaku di antara pukul 2.30 petang sehingga 8 malam. Ketika kejadian mangsa tiada di rumah dan berada di Gemas.

“Sehubungan itu, polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Fatahulmoin Mat Isa atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui talian 06-4431999 @ 06-4411222 dan boleh juga menghubungi balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

The post Penyamun larikan shortgun, 200 peluru appeared first on Kosmo Digital.