KULAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan di Kilometer 29.3 Lebuh Raya Linkedua menuju Plaza Tol Senai Utara, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.30 petang, semalam.
Menurut beliau, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150R, manakala lori yang terlibat gagal dikenal pasti kerana telah melarikan diri.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 30 tahun cuba mengelak lori yang berada di lorong kanan sebelum hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kanan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, pemandu lori dipercayai telah melarikan diri dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek.
“Kami turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi talian 017-7573507 bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa penunggang motosikal maut selepas kepalanya terputus akibat kemalangan berkenaan.
The post Penunggang motosikal maut, pemandu lori dicari appeared first on Kosmo Digital.