Penganggur menyamar polis rompak wanita Indonesia dijel 12 tahun

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penganggur yang menyamar sebagai anggota polis dengan merompak dua wanita warga Indonesia, mengundang padah apabila dia dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd. Khairee Mat Yasin, 35, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa didakwa merompak dua buah telefon bimbit, sebuah tablet pintar dan wang tunai RM270 milik Anis Md Mollah di kawasan industri di Jalan Kepong di sini pukul 9.20 pagi pada 20 Oktober lalu.

Sementara pertuduhan kedua tertuduh didakwa merompak seorang lagi warga Indonesia, Ijum Sholehah dan mengambil sebuah telefon bimbit, satu tiket penerbangan ke Indonesia, satu pasport Indonesia, dan wang tunai RM600.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Segambut di sini pukul 10.30 pagi pada 5 November lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas alasan tertuduh menyamar sebagai anggota polis ketika merompak kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan dia mempunyai tanggungan keluarga. – KOSMO! ONLINE

The post Penganggur menyamar polis rompak wanita Indonesia dijel 12 tahun appeared first on Kosmo Digital.