Pengadil diugut sihir dan santau

KASIHAN sang pengadil bola sepak. Dalam mana-mana perlawanan bola sepak kompetitif yang diadili seorang pengadil, mereka sentiasa di pihak yang kalah.

Sebaik mana prestasi yang dipamerkan, seorang pengadil dalam mana-mana perlawanan tumpuan tidak mampu memuaskan hati semua pihak, bahkan mereka diasak dari pelbagai sudut, tidak kira daripada pemilik kelab, jurulatih dan penyokong, bersenjatakan media sosial.

Ulasan segelintir penyokong daripada pasukan yang kalah pasca perlawanan kadangkala mengalahkan pakar Ini belum disentuh ancaman dan ugutan sihir dan santau untuk ditujukan kepada pengadil yang dihukum salah dalam alam maya.

Pada usia 32 tahun, Muhammad Nazmi Nasaruddin lebih muda daripada sesetengah pemain yang mewarnai Liga M. Aktif sejak berusia 21 tahun dan menerima tauliah FIFA pada 2016, Nazmi adalah antara pengadil yang didedahkan untuk membawa nama negara di mata dunia.

Anak kepada bekas pengadil, Nasaruddin Ishak, Nazmi bukan nama baharu mengadil perlawanan berprofil tinggi. Beliau pengadil final Piala Malaysia 2019 dan terbaharu, final Piala FA yang diungguli Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun setiap kali dilantik mengadil final, profilnya di laman Wikipedia digodam, kononnya Nazmi dilahirkan di Pontian atau Felda Taib Andak, lalu ditularkan. Begitulah mudahnya kita membunuh reputasi dan imej seseorang menerusi penyebaran maklumat palsu.

Sekalipun mempamerkan prestasi baik, termasuk memberi kelebihan atau advantage tanpa mengganggu tempo serta menjiwai permainan dengan menggunakan budi bicara, umum tidak mengiktiraf persembahan Nazmi.

Sebaliknya ditularkan video lontaran ke dalam JDT yang dilakukan jauh dari garis sepatutnya yang membawa kepada jaringan pembukaan Arif Aiman Mohd Hanapi.

Satu kesilapan itu menutup sembilan kebaikan yang dilakukan. Memburukkan lagi keadaan apabila ada penyiar yang menonjolkan berita secara berat sebelah dengan memetik penyokong pihak yang kalah.

Dalam situasi sebegini, tidak hairan jika ada pemimpin tertinggi kelab turut terikut-ikut dengan sentiment kebanyakan serta gagal mengawal emosi sekalipun keputusan pengadil dilihat tepat dan wajar. 

Video Bantuan Pengadil (VAR) juga bukan solusi mutlak. Sebagai contoh, tandukan Arkadiusz Milik yang mencecah jaring dibatalkan ketika Juventus seri 2-2 dengan Salernitana dalam Serie A atas alasan Leonardo Bonucci dilihat berada dalam keadaan ofsaid ketika cuba menghalakan bola ke gawang. Walhal dari sudut yang lain, adalah jelas Bonucci tidak berada dalam keadaan ofsaid,

Apapun, pemerkasaan dari sudut modal insan bagi meningkatkan prestasi kelompok pengadil harus dititikberatkan, apatah lagi Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang aktif di pentas FIFA, bahkan pada 1960-an, warga Pulau Pinang, Datuk Koe Ewe Teik, adalah timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA.

Seramai enam pengadil dan lapan penolong pengadil berstatus FIFA hari ini harus dipupuk mengikut jejak langkah nama-nama seperti Datuk George Joseph (pengadil Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun di Tokyo 1979), Allahyarham Kapten Abdul Halim Hamid (penolong pengadil Piala Dunia FIFA Perancis 1998), Mat Lazim Awang Hamad (penolong pengadil Piala Dunia FIFA Korea Selatan-Jepun 2002) dan Subkhiddin Mohd Salleh (pengadil Sukan Olimpik Athens 2004 dan Piala Dunia FIFA Afrika Selatan 2010).

Secara umumnya, kita sedar pengadil juga insan biasa. Namun keputusan pengadil sama ada mereka bertaraf amatur mahupun profesional adalah muktamad. Andai ada tuduhan salah laku, laporkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengendali liga, MFL, berserta bukti.

Kata-kata nista hanya akan membunuh semangat kelompok insan istimewa ini. 

 

*Penulis adalah juri anugerah berprestij, Ballon d’Or

 

The post Pengadil diugut sihir dan santau appeared first on Utusan Malaysia.