Pemandu, penumpang Myvi maut masuk laluan lori treler

TANGKAK – Dua maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori treler di Kilometer (KM) 39.3 Jalan Muar-Tangkak, di sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvvi berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kereta Perodua Myvi terbabit dari arah Tangkak menuju ke Segamat. Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu pemuda terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Dalam nahas kira-kira pukul 7.05 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi Muhammad Hazim Abd Halim, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpangnya Muhamad Fikri Amaludin, 24, turut maut.

“Bagaimanapun, pemandu treler terbabit berusia 37, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Tambah Roslan, sebaik memasuki laluan bertentangan, treler itu dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh hadapan Perodua Myvi terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tangkak. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian itu diminta menyalurkan maklumat mengenai kejadian dengan menghubungi IPD Tangkak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu, penumpang Myvi maut masuk laluan lori treler appeared first on Kosmo Digital.