Pemain United gagal bermain sebagai satu unit

LONDON – Bekas pemain Liverpool, John Barnes berpendapat bahawa kejatuhan prestasi Manchester United sejak kebelaka­ngan ini bukanlah disebabkan faktor benteng pertahanan mereka semata-mata.

Menurutnya, masalah United ketika ini adalah bukan kredibiliti para pemain pertahanan mereka, tetapi kegagalan semua pemain mereka untuk melakukan kerja bertahan sebagai satu unit menyebabkan mereka berdepan masalah besar dan sering dibolosi.

“Tiada masalah dengan pemain pertahanan United, ke­cuali keseluruhan pemain mereka tidak bermain sebagai satu unit dan sempurna.

“Jika Liverpool sekalipun mengharapkan pemain pertahanan sahaja melakukan kerja-kerja bertahan, mereka juga akan menerima nasib yang sama se­perti United.

“Apabila mereka melakukan serangan, mereka bermain de­ngan sangat baik. Namun, mereka tidak bertahan dengan 11 pemain yang memberikan 100 peratus kesungguhan.

“Mereka mungkin mampu menjaringkan gol dengan gaya permainan menyerang seperti itu, tetapi mereka juga akan bolos. Mereka perlu mencari jalan menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Barnes turut mengkritik sikap dan cara permainan beberapa pemain berstatus bintang di dalam skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang dilihat tidak bekerja dengan kuat terutama apabila pasukan mereka kehilangan bola. – AGENSI

The post Pemain United gagal bermain sebagai satu unit appeared first on Kosmo Digital.