Pelajar ‘spam’ e-mel rasmi universiti kerana tidak mahu jawab soal selidik

PETALING JAYA – Tindakan beberapa orang pelajar di universiti awam hari ini mencetuskan kemarahan orang ramai apabila mereka bertindak membalas e-mel rasmi universiti dengan ayat yang kurang sopan dan berbaur lucah.

Menurut sebuah hantaran di aplikasi X, pelajar di universiti tersebut dipercayai bertindak sedemikian sebagai tanda protes terhadap e-mel rasmi universiti yang meminta pelajar menjawab soal selidik tertentu.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, mohon pihak universiti pantau dan ambil tindakan kepada pelajar yang spam e-mel rasmi dan menggunakan perkataan kesat.

“Tolonglah ambil tindakan sebab sudah melampau,” luah seorang pelajar di aplikasi X, hari ini.

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai mengecam tindakan pelajar-pelajar di universiti terbabit yang seakan-akan tidak menghormati orang lain.

“Memang penggunaan e-mel rasmi itu untuk tujuan akademik, ini termasuklah untuk membuat hebahan sekiranya ada soal selidik. Kalau tak suka, boleh hentikan langganan e-mel,” kata Izaak.

“Memalukan. Sekarang semua orang boleh tengok perangai masing-masing. Sudahlah komen bukan-bukan dengan nama penuh,” kata Niesa.

“Kalau buat benda sama di tempat kerja, tindakan sebegini bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi pelaku juga boleh berhadapan dengan tindakan disiplin daripada majikan,” kata Mad.

Kini, hantaran tersebut telah mendapat 4,500 tanda suka dan 4,700 perkongsian. – KOSMO! ONLINE

The post Pelajar ‘spam’ e-mel rasmi universiti kerana tidak mahu jawab soal selidik appeared first on Kosmo Digital.