PETALING JAYA – Pelajar dan kakitangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh mendapatkan vaksin secara walk-in sebelum sesi pembelajaran secara fizikal dibuka.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi pelajar yang tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan perlu menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.
“Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) melalui insiatif VACC2 Campus giat mempertingkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksin lengkap.
“Justeru itu, pelajar dan kakitangan IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) dengan hanya membawa kad pelajar atau kad pekerja serta kad pengenalan,” katanya pada pengumuman pengoperasian IPT tadi.
Sementara bagi pelajar baharu pula, perlu membawa surat tawaran ke IPT dan kad pengenalan atau pasport. – K! ONLINE
The post Pelajar, kakitangan IPT boleh vaksin secara walk-in appeared first on Kosmo Digital.