Pegawai ditembak, ditetak pengganas Sulu terima pingat

PETALING JAYA – Pegawai kanan polis, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Superintendan Mohamad Hasnal Jamil dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau adalah penerima tunggal PGB sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri, Istana Negara, semalam.

Pada Mac 2013, Mohamad Hasnal cedera ditembak dan ditetak pengganas Sulu dalam Op Daulat di Kampung Simunul, Semporna di Sabah.

Susulan pangkat yang dierima, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengucapkan tahniah kepada beliau yang menerima PGB iaitu pangkat kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa.

Pangkat PGB dikurniakan khusus kepada mereka yang menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa ketika berhadapan musuh.

Pada Februari 2013, Malaysia digemparkan dengan pengganas bersenjata Sulu yang menceroboh perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Pencerobohan terbabit membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo sehingga menyebabkan seramai 10 wira negara gugur manakala 68 pengganas Sulu ditumpaskan.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. – KOSMO! ONLINE

The post Pegawai ditembak, ditetak pengganas Sulu terima pingat appeared first on Kosmo Digital.