LOS ANGELES, CALIFORNIA – Syarikat Warner Bros. dan Airbnb menawarkan pakej penginapan semalaman di dalam van The Mystery Machine bagi meraikan ulang tahun ke-20 filem komedi seram Scooby-Doo, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
The Mystery Machine adalah nama van ikonik siri kartun legenda itu yang popular di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.
Pelakon Watthew Lillard yang melakonkan watak Shaggy dalam filem itu bakal melayan tetamu di dalam van ikonik tersebut yang akan berada di Pantai Malibu, California Selatan untuk penginapan selama tiga malam bermula 24, 25 dan 26 Jun ini.
“Sudah 20 tahun sejak saya memainkan watak Shaggy dalam filem terbitan Warner Bros., Scooby-Doo tetapi semangat saya masih sama.
“Untuk meraikannya, saya akan membawa kembali pengalaman mengasyikkan di dalam van kesayangan kumpulan itu, The Mystery Machine,” kata Lillard dalam iklan Airbnb.
Pakej penginapan semalaman pada harga cuma AS$20 (RM88) itu dilaporkan habis ditempah dalam masa yang singkat.
“The Mystery Machine sangat terkenal dan ketiga-tiga malam telah ditempah dalam masa beberapa minit sahaja,” kata wakil Airbnb kepada CNN.
Tetamu yang bertuah akan disambut ucapan khas daripada Lillard secara online setelah tiba.
Selain itu, snek makanan Scooby-Doo turut disediakan untuk tetamu di samping makan malam yang diaturkan. Ia merangkumi makanan kegemaran Shaggy dan Scooby seperti hot dog dan burger terung. – Agensi
The post Pakej penginapan rai ulang tahun ke-20 Scooby-Doo appeared first on Kosmo Digital.