KUALA LUMPUR – Perlawanan terakhir saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 hari ini menyaksikan Pahang Tulips bangkit melakar kemenangan dramatik 50-46 ke atas Negeri Sembilan Venom.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Pahang mengumpul enam mata keseluruhan dalam tiga perlawanan bagi mencerahkan peluang mereka bersaing merebut slot ke separuh akhir.
Pada pertemuan di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selain merencanakan gerakan-gerakan berbahaya.
Aksi suku masa pertama nyata menjadi milik Negeri Sembilan apabila skuad kendalian Nur Hidayah Mustafar itu mendahului 14-9 sebelum pengadil meniupkan wisel waktu rehat.
Bersambung suku masa kedua, Negeri Sembilan kekal dengan aksi garang apabila mula menjarakkan kedudukan 20-10 sebelum Pahang kembali mengejar 21-16 walaupun perlawanan dilihat cukup seimbang.
Aksi suku masa ketiga boleh dianggap paling ‘gila’ apabila Pahang melakukan serangan bertubi-tubi dan berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 28-28 sebelum Negeri Sembilan menamatkan suku masa tersebut dengan kelebihan 37-35.
Negeri Sembilan yang berdepan tekanan cukup tinggi akhirnya seperti hilang arah pada suku masa keempat sehingga membolehkan Pahang bangkit untuk memintas kedudukan dan mendahului perlawanan 48-45.
Ketika perlawanan berbaki dua minit, kedua-dua pasukan semakin rancak mengatur serangan, namun tiga mata menjadi milik Pahang apabila memastikan kemenangan 50-46 dalam perlawanan penuh dramatik.- KOSMO! ONLINE
The post Pahang Tulips bangkit jinakkan Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Digital.