KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dari Kuala Kangsar, dilaporkan hilang selepas dipercayai diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa memberitahu keluarga bahawa dia akan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai penghantar sayur, 13 Jun lalu.
Namun menurut Hishamuddin, mangsa menerusi WhatsApp sebaliknya memberitahu individu dipercayai teman wanitanya bahawa dia akan ke Bangkok.
“Jumaat lalu teman wanitanya datang jumpa keluarga dan maklumkan, mangsa beritahu dia ketika itu ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akan bertolak ke Bangkok dan akan dijemput seorang individu sebaik tiba.
“Mangsa juga beritahu, dia ada naik kereta selama enam jam ke Sungai Moel dan akan dibawa ke seberang untuk ke sempadan Sungai Myanmar, tetapi mangsa tak mahu,” kongsinya.
Hishamuddin berkata, pihaknya menjangkakan akan ada panggilan daripada mangsa atau ahli sindiket kepada keluarga mangsa dalam masa dua minggu.
“Menurut pengalaman MHO, modus operandi sindiket adalah sama. Bila sampai Thailand, akan dibawa ke Chiang Rai kemudian ke Sungai Chong Khaep dan seterusnya Mynmar.
“Kami rasa mangsa berada di sana cuma tak dapat sahkan sebab belum ada panggilan,” katanya.
Abang mangsa ketika ditemui berkata, sudah seminggu adiknya tidak dapat dihubungi dan laporan polis telah dibuat oleh teman wanita mangsa di Balai Polis Kuala Kangsar 14 Jun lalu.
“Dia tak cakap nak ke Thailand kecuali kepada teman wanitanya yang kami baru jumpa ni.
“Adik sebelum ni kerja bantu keluarga jual makanan dan berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja,” jelasnya.
Dalam masa sama Hishamuddin turut berpesan kepada keluarga mangsa supaya tidak bersetuju untuk membayar apa-apa tebusan jika ada menerima mana-mana panggilan.
“Saya dah pesan supaya beri mesej jelas bahawa jangan setuju dan keluarga tak akan bayar apa-apa wang atau tebusan.
“Pengalaman kita juga, memang ramai yang telefon mengaku kenal mangsa dan tawarkan bantuan selamatkan mangsa dengan bayaran tertentu.
“Minta mangsa untuk hubungi MHO kerana kita ada pasukan penyelamat yang akan kenal pasti lokasi seterusnya selamatkan mangsa dengan kaedah tertentu,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Padah tipu keluarga, lelaki ‘hilang’ di Myanmar appeared first on Kosmo Digital.