Nelayan lemas, bot terbalik ketika tangkap ikan di Sungai Nenggiri

GUA MUSANG – Hasrat seorang warga emas untuk berhenti sebagai nelayan benar-benar menjadi kenyataan apabila dia ditemui lemas selepas bot pancung yang dinaikinya terbalik ketika menangkap ikan di Sungai Nenggiri, Kampung Star di sini hari ini.

Mangsa, Mohd. Aziz Ismail, 65, dijumlai lemas selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakannya terbalik dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi.

Anak sulung mangsa, Rosnani, 35, berkata, dia menerima panggilan daripada adik bongsunya yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi ketika berada di rumah keluarganya di Kampung Pasir Tumbuh di sini.

Katanya, dia sempat bertemu arwah selepas menunaikan solat subuh pagi tadi dan menghulurkan wang RM30 kepada bapanya untuk membeli sarapan pagi di kedai sebelum turun ke sungai.

“Ibu, Pauziah Abu Bakar, 52, juga memaklumkan arwah ada berjanji untuk membeli susu tepung untuk ibu yang menghidap pelbagai jenis penyakit menggunakan hasil jualan ikan sungai hari ini.

“Arwah juga pernah meluahkan bahawa ini merupakan hari terakhir dia turun ke sungai untuk menangkap ikan kerana dia akan membantu ibu menoreh getah selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Rosnani memberitahu, arwah turut memaklumkan hasratnya untuk berjumpa cucu sulungnya, Mohammad Al-Akiff Raikal Aizum, 9, sejak seminggu lalu sebelum dapat memeluk dan mencium kanak-kanak itu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian bot terbalik di Kampung Star di sini kira-kira pukul 12.26 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.30 pagi apabila seorang pekerja kilang pasir terdengar suara orang meminta tolong dari arah sungai.

“Hasil pemeriksaan anggota kesihatan mengesahkan warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Nelayan lemas, bot terbalik ketika tangkap ikan di Sungai Nenggiri appeared first on Kosmo Digital.