KANGAR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut dalam kemalangan di hadapan kampus UiTM Dungun di Terengganu.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya juga membantu menguruskan penghantaran jenazah ke kampung halaman untuk dikebumikan.
“KPT mengucapkan takziah kepada ketiga-tiga keluarga pelajar terlibat dan kami turut bersedih kerana kehilangan bakat-bakat terbaik negara.
“Di pihak kementerian, kita juga akan membantu keluarga termasuk daripada sudut sokongan moral dan menyediakan kaunseling,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Ilmu, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 7.35 malam semalam, tiga pelajar UiTM kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal dinaiki dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
Dalam pada itu, Mustapha melihat aspek keselamatan perlu dipertingkat terutama kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Katanya, aspek kesedaran kepada pelajar seperti tayangan video mengenai keselamatan yang pernah dilakukan satu masa dahulu perlu dilakukan semula dan pihak kementerian akan berusaha ke arah itu. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UiTM Dungun: KPT salur sumbangan RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.